SEREMBAN: Dua lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan, minggu lepas.

Halip Kalil, 53, dan Hamymurizal Mohamad, 49, yang bekerja kampung membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas merompak komputer riba, ipad dan dua telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 30 tahun di kawasan taman PD Utama, Port Dickson pada kira-kira 4.30 petang 22 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohamad Kamil membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,500 berserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu pengadu.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 6 Mei ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M. Kalaivaanan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Wirdayati Shafudi dan Mendeep Singh. -Bernama