KUANTAN: Kegembiraan meraikan Aidilfitri berakhir tragedi apabila dua pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Central Spine Road (CSR) menghala ke Kuala Lipis petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Lipis Supritendan Ismail Man berkata kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika mangsa, Mohd Mazuan Mat Zin, 44, bersama rakannya, Kisnawita Saad, 46, dalam perjalanan pulang ke Sungai Buluh, Selangor selepas bercuti hari raya Aidilfitri di Kelantan.

“Siasatan mendapati motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan dan melanggar tembok simen pembahagi jalan sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak.

“Mangsa lelaki iaitu penunggang motosikal, Mohd Mazuan dan pembonceng wanita, Kisnawita meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.