SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki warga asing disyaki cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan di sebuah pasar raya di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata dalam kejadian pada 7.30 malam itu, kanak-kanak terbabit bersama ibu dan ibu saudaranya sedang menaiki eskalator di pasar raya berkenaan sebelum didatangi dua lelaki itu dari arah belakang.

“Seorang daripada warga asing itu bertindak mengangkat kanak-kanak perempuan berkenaan dari arah belakang menyebabkan ibu mangsa menjerit serta menarik semula anaknya.

“Dua lelaki itu kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam di situ dan diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata kedua-duanya yang berusia antara 25 hingga 30 tahun direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana cubaan menculik.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. -Bernama