KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah dan sedang meneliti beberapa cadangan penyelesaian bagi memudahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melaksanakan transaksi menerusi sistem e-invois.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying (gambar) berkata LHDN juga menaik taraf ciri-ciri platform MyTax dan MyInvois portal bagi memastikan pelaksanaan e-invois lebih mudah dilaksanakan oleh PMKS selain turut menggalakkan PMKS untuk menggunakan platform pembayaran digital bagi memudahkan pelaksanaan e-invois.

“Untuk mengatasi isu internet, sesi libat urus dengan kementerian akan digiatkan dalam memastikan isu internet dan akses dapat diatasi. Kolaborasi dengan industri dan agensi dalam memastikan komunikasi dan program latihan pelaksanaan e-invois bagi PMKS adalah antara langkah-langkah yang akan dilakukan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin mengetahui apakah cabaran yang dihadapi oleh PMKS untuk melaksanakan sistem e-invois walaupun kerajaan telah menyediakan insentif untuk menyenangkan proses.

Lim berkata sepanjang sesi libat urus bersama pemain industri dan badan professional yang dilaksanakan, LHDN menerima pelbagai maklum balas dan input khususnya berkenaan cabaran yang dihadapi oleh pelbagai pihak termasuk PMKS.

Menurutnya, antara yang masalah yang dibangkitkan oleh PMKS termasuklah beban dan kos operasi, penerapan teknologi dan jurang kesediaan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan penggunaan e-Invois secara berperingkat mulai Ogos 2024 berdasarkan nilai ambang hasil jualan perniagaan.

Pelaksanaan e-Invois merupakan suatu pendekatan baharu untuk meningkatkan tahap pematuhan cukai, sekali gus memberi manfaat kepada kerajaan, pentadbir cukai dan perniagaan dari aspek meningkatkan kecekapan perniagaan, menangani ekonomi bayangan dan mengekang ketirisan hasil cukai negara.

“Kerajaan mengambil maklum bahawa proses untuk syarikat mengadaptasi e-Invois memerlukan masa. Oleh itu, pelaksanaan e-Invois akan dibuat secara berfasa.

“Fasa pertama akan bermula pada Ogos 2024 melibatkan syarikat besar dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta manakala fasa kedua melibatkan syarikat dengan perolehan tahunan sebanyak RM25 juta sehingga RM100 juta yang akan bermula pada Januari 2025,” katanya.

Lim berkata pada masa ini, sistem MyInvois sedang dibangunkan untuk diakses oleh semua perniagaan secara percuma mulai 1 Ogos 2024 dan seterusnya mulai Mei 2024, LHDN akan menjalankan projek rintis melibatkan syarikat terpilih yang mewakili pelbagai industri sebagai persediaan ke arah pelaksanaan secara meluas yang lebih lancar

“Sistem MyInvois semestinya akan memberi keutamaan kepada kerahsiaan, integriti dan ketersediaan data melalui langkah-langkah perlindungan data yang ketat.

“Kerajaan akan memastikan LHDN memberi keutamaan dalam memastikan data dalam sistem myinvois sentiasa terjamin melalui pematuhan terhadap dasar keselamatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), LHDN dan surat pekeliling am garis panduan pengurusan maklumat melalui pengkomputeran dan sebagainya,” katanya. -Bernama