JASIN: Empat penjara terlibat dalam pelaksanaan projek penanaman nanas sekali gus membantu mempertingkatkan pengeluaran hasil tanaman kontan itu dalam negara.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali berkata penjara berkenaan ialah Kem Penjara Gemas, Negeri Sembilan; Penjara Kluang, Johor; Penjara Seberang Prai, Pulau Pinang serta Pusat Koreksional Jasin di sini.

“Sehingga kini seramai 82 ODS (orang yang diselia) dan 43 pegawa penjara menerima manfaat daripada program pemindahan teknologi berkaitan pengurusan tanaman nanas yang dilaksanakan LPNM ini.

“Kami berharap dengan kerjasama ini ia juga dapat membantu memberikan pendedahan dan menambah ilmu kepada ODS sebelum mereka kembali bersama masyarakat,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Nanas di Pusat Koreksional Jasin dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) LPNM Linda Buang serta Pengarah Pusat Koreksional Jasin Mohd Idlan Jamil.

Sheikh Umar berkata LPNM melihat Jabatan Penjara mempunyai kelebihan kerana mempunyai kawasan penanaman yang luas dan tenaga kerja yang sudah pasti melibatkan ODS.

Beliau berkata sebagai contoh usaha sama dijalankan di Pusat Koreksional Jasin itu yang melibatkan kawasan tanaman seluas lebih 10 hektar dan diusahakan dengan nanas varieti MD2, Yankee serta Moris.

“Usaha sama di Pusat Koreksional Jasin ini menunjukkan permulaan yang baik dengan penerapan konsep 'sekali tanam, tiga kali tuai' iaitu pengeluaran nanas segar dan produk makanan selain penjualan sulur tanaman serta penghasilan silaj. Konsep ini juga boleh diadaptasi oleh agensi lain.

“LPNM juga berhasrat menjadikan pusat pengumpulan nanas ini sebagai pusat utama pengumpulan hasil di Melaka, selain menjadikan Jabatan Penjara sebagai pengeluar benih berdaftar untuk pembekalan benih bagi Wilayah Tengah iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Justeru, katanya LPNM sedia bekerjasama dan mengalakkan penglibatan mana-mana agensi kerajaan yang mempunyai kawasan tanah luas dan boleh diguna pakai untuk pertanian serta penanaman nanas bagi meningkatkan lagi pengeluaran hasil dalam negara.

“Di pusat pengajian tinggi dan lain-lain agensi kebiasaannya mempunyai kapasiti tanah yang luas dan sesuai untuk usaha ini, justeru LPNM sangat berbesar hati bekerjasama mengembangkan lagi tanaman nanas memandangkan permintaan yang tinggi,” katanya.