IPOH: Kebiasaannya mengunjungi mana-mana taman tema pastinya disajikan pelbagai aktiviti lasak serta mendebarkan yang sekali gus akan mencabar ketahanan fizikal serta menjadi medan terbaik menguji adrenalin tatkala mengharungi pelbagai sukan ekstrem pada aras tinggi.

Namun begitu, ada sesuatu kelainan dan keistimewaan tersendiri ditawarkan di Taman Inspirasi Alam Semulajadi (ESCAPE) Ipoh yang bakal dibuka kepada pengunjung dalam masa terdekat sekali gus menjadikannya berbeza dengan taman tema lain sedia ada.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Ipoh, taman seluas 56 hektar itu menawarkan lebih daripada 15 aktiviti lasak dan bersesuaian dengan semua peringkat umur dan ia pastinya tidak sekadar bakal menjadi syurga buat peminat sukan ekstrem.

Bagi mereka yang merindui nostalgia kehidupan kampung apabila ia dilatari dengan suasana pemandangan menghijau ladang kelapa sawit serta gabungan sukan ekstrem dan permainan tradisional sekali gus menciptakan keseronokan baharu di taman tema tersebut.

Seolah-olah mengimbau kembali keseronokan zaman kanak-kanak, itu antara pengalaman yang dirasai sekumpulan media tatkala diberi peluang mencabar diri dengan pelbagai permainan lasak di taman tema berkenaan sempena Media Explore ESCAPE TT5 baru-baru ini.

Aktiviti lasak ‘monkey business’ misalnya mempunyai elemen permainan lompat tikus yang menjadi kegemaran kanak-kanak zaman dahulu selain pelbagai mainan ekstrem lain seperti gecko tower, flying lemur, slingshot, jumping jack, aerobat, boat rides dan banana flip.

Mengajukannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Anuar Zainal Abidin, beliau berkata memang ada aktiviti lasak di situ mengetengahkan nilai permainan tradisional yang seterusnya membawa pengunjung mengimbau kembali nostalgia ketika zaman kanak-kanak.

Apatah lagi, apabila mereka boleh melakukan aktiviti perkhemahan serta menerokai keindahan tasik yang asalnya merupakan lombong bijih timah dengan rumah bot pada harga sangat berpatutan sekali gus bakal menjadi tarikan terbaik untuk membawa keluarga bercuti di taman tema tersebut.

“Keistimewaan ESCAPE Ipoh, pengunjung boleh bermalam kerana melakukan aktiviti lasak pastinya tidak cukup satu hari. Menariknya juga, mereka dibenarkan membawa makanan dan minuman luar.

“Tidak perlu bimbang dengan keselamatan kerana kawasan ini dikawal 24 jam. Membawa keluarga bermain di sini adalah selamat dan kami juga sentiasa pastikan penyelenggaran taman tema ini mengikut jadual,” katanya.

Pembinaan taman tema ini yang bermula sejak tahun lepas dan siap fasa pertamanya pada suku pertama tahun ini dengan nilai pelaburan sebanyak RM30 juta, tentunya akan menjadi tarikan terbaharu di bandar raya yang terkenal dengan nilai sejarah dan tumpuan kafe hipster ini.

Apatah lagi, lokasinya terletak di sekitar kapal korek bijih timah Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5) Tanjung Tualang yang merupakan destinasi pelancongan dan OOTD (tempat merakam gambar dengan pakaian yang dikenakan hari itu) bagi mereka yang gemar bergambar.

Projek yang dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) menerusi syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), MB Inc sebagai penyedia tapak dan Sim Leisure Group (SLG) pelaksana projek, diharap dapat merancakkan lagi sektor pelancongan Perak.

“Kami bukan sahaja mahu menarik pengunjung tempatan tetapi juga pelancong luar seperti dari Singapura, Thailand untuk menikmati keseronokan ESCAPE Ipoh. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 pengunjung setahun ke taman tema ini,” katanya.

Tidak hanya itu, beliau berkata kewujudan taman tema tersebut juga berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dan ini juga sebagai permulaan untuk lebih banyak lagi tarikan lain yang bakal dibina di sekitar kawasan TT5.

“Selain itu, kita dapat mencapai impian kerajaan Perak iaitu perlombongan bertanggungjawab yang merupakan elemen yang kita hendak tonjolkan kepada orang ramai kerana walaupun kita membuat sebarang pembangunan atau pembinaan di kawasan warisan, mineral atau lombong tanpa menjejaskan apa-apa pun alam semula jadi.

“Apabila ESCAPE Ipoh ini diwujudkan, ia menjadi satu contoh kepada pemuliharaan alam sekitar iaitu keseimbangan antara kemajuan dan alam semula jadi itu wujud,“ katanya. -Bernama