KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pembiayaan secara kumulatif berjumlah RM8.85 bilion kepada usahawan mikro sejak penubuhannya pada tahun 1998, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (gambar).

Beliau berkata jumlah itu termasuk RM795.9 juta atau 37,963 pembiayaan dari awal tahun ini sehingga 30 Sept, 2023 berbanding peruntukan yang diterima pada tahun ini berjumlah RM430 juta.

“Bagi tahun 2024, peruntukan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 bagi Skim Pembiayaan TEKUN Nasional ialah sebanyak RM330 juta.

“Saya yakin TEKUN Nasional akan memperuntukkan dana dalaman sebagai tambahan kepada peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk dimanfaatkan oleh usahawan mikro di negara ini,“ katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata TEKUN Nasional secara keseluruhannya telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM51.5 juta kepada seramai 2,531 usahawan bekas tentera.

Katanya, bagi tahun 2023, TEKUN Nasional telah memperuntukkan dana khas berjumlah RM10 juta untuk disalurkan kepada usahawan daripada kalangan bekas tentera melalui Skim Pembiayaan Bekas Penjawat Keselamatan.

Sehingga 30 Sept, 2023, sebanyak 89 permohonan telah diluluskan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM1.69 juta.

Selain itu, Ewon berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited membantu kerajaan menangani kos sara hidup melalui sektor pemborongan dan peruncitan koperasi khususnya melalui penubuhan rangkaian cawangan Coop Mart yang menawarkan harga keperluan asas pada kadar yang berpatutan.

Sehingga 30 Sept, 2023, sebanyak 2,611 cawangan Coop Mart telah beroperasi di seluruh negara.

Beliau berkata SKM juga telah melaksanakan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan keperluan harian dengan kadar penjimatan sehingga 20 peratus.

“Sehingga 19 Okt, 2023, SKM telah memperuntukkan insentif sebanyak RM1.35 juta bagi melaksanakan 60 program JMK yang telah memberi manfaat kepada 110,045 orang. Jumlah jualan keseluruhan yang diperoleh daripada program tersebut adalah sebanyak RM5.5 juta,“ katanya. -Bernama