GUA MUSANG: Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid termasuk masyarakat Orang Asli berada di tahap memuaskan dan akan dipertingkatkan lagi melalui bahan bacaan digital, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata program Bahan “Enhancing Reading Through Digital Text” (ERDT) di bawah Program Literasi untuk Murid Orang Asli dan Peribumi membolehkan bahasa Inggeris diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan peribumi.

Menurutnya setakat ini terdapat perkembangan positif yang berlaku di antara mereka.

“Dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris dijalankan secara seiring bagi memastikan murid berkeupayaan menggunakan kedua-dua bahasa dengan baik termasuk dalam konteks penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam pelajaran mereka.

“Saya fikir ini antara inovasi terbaik dalam bidang pendidikan kita (yang) akan memberikan tumpuan penuh dan memastikan mereka tidak akan tercicir,” katanya selepas Majlis Peluncuran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text di bawah Program Literasi untuk Murid Orang Asli dan Peribumi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis di sini hari ini.

Menurut Fadhlina bahan pengajaran dan pembelajaran hasil kerjasama daripada beberapa rakan sinergi yang lain akan digunakan sepenuhnya bagi mengukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak Orang Asli mengikut suku kaum masing-masing.

“Teknologi yang digunakan melalui ERDT ini mampu mengesan keciciran dalam kalangan pelajar dengan menggunakan kaedah inovasi yang dijalankan.

“Inovasi ini penting bagi memastikan tiada kanak-kanak yang terpinggir dalam menguasai bahasa Inggeris memandangkan perhatian akan ditumpukan sepenuhnya kepada keupayaan dalam bentuk pembudayaan teknologi,” katanya.

Beliau berkata program ini terdapat beberapa segmen termasuk Temiar, Bateq serta suku kaum lain dan sangat baik kerana inovasinya dalam pendidikan mengukuhkan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan warisan, kebudayaan serta ekosistem mereka.

Menurutnya perluasan ERDT akan dilaksanakan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) mengikut sekolah berdasarkan demografik institusi itu.

Sementara itu, mengenai sama ada Kolej Vokasional (KV) akan memberi ruang kepada pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran, beliau berkata KV mengalu-alukan penglibatan komuniti itu dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menurutnya KPM tidak meminggirkan sesiapa malah golongan berkenaan turut diberi peluang untuk menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi bagi memperkasakan kemahiran Orang Asli.

“Saya juga sudah berbincang dengan Pengarah KV dan beliau komited untuk memastikan masyarakat Orang Asli diberi peluang menyambung pendidikan di peringkat TVET khususnya di semua KV,” katanya.