KUALA LUMPUR: Menerusi hantaran di akaun Facebook, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengenang semula perjalanan parti PKR 25 tahun lepas yang bermula dengan satu gerakan massa.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR berkata kini selepas 25 tahun berlalu, parti itu berjaya membawa islah (usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada keadaan yang betul, tepat dan sesuai) demi masa depan negara yang lebih baik.

“Selamat ulang tahun ke-25 buat seluruh anggota dan pimpinan PKR,“ katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini sempena ulang tahun ke-25 parti itu.

Sementara itu Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menerusi ucapan ulang tahun yang dimuat naik di Facebook, mengingati pejuang awal parti yang tidak mungkin dapat dibalas jasa dan pengorbanan mereka.

Menteri Pendidikan itu berkata perjuangan parti juga didokong oleh semua anggota di setiap peringkat, sehingga membolehkan PKR terus bertahan walaupun berdepan ujian dan kesengsaraan.

“Figura, tokoh dan pejuang Keadilan sangat sinonim dengan para penggerak perjuangan rakyat... dia yang berkorban segala-galanya demi perjuangan, dengan darah, keringat dan air mata,“ katanya.

Fadhlina juga melahirkan harapan untuk PKR kekal menzahirkan kebaikan dan memimpin perubahan untuk Malaysia.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli Abd Halim yang berterima kasih kepada penyokong parti atas pengorbanan mereka, turut mengingatkan bahawa perjuangan parti masih terlalu jauh.

“Jauh perjalanan telah kita tempuhi, masih terlalu jauh lagi kita perlu terus melangkah ke hadapan untuk melaksanakan agenda rakyat,“ katanya.