KUALA LUMPUR: Langkah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa pulang pendapatan pelaburan asing sebagaimana saranan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan tekanan terhadap ringgit telah menampakkan kesan positif, kata Gabenor Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (gambar).

Beliau berkata BNM mendapati usaha preventif itu memberikan hasil positif dan kesan serta-merta sekali gus mengukuhkan permintaan terhadap ringgit sepanjang Februari.

“Kami tidak dapat mendedahkan institusi dan jumlah yang mereka bawa pulang namun, mereka dapat membawa pulang (jumlah) sangat konsisten setiap hari,” katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai penerbitan laporan BNM di sini, pada Rabu.

Beliau berkata ringgit telah meningkat kira-kira 1.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh dari Januari hingga Februari.

Hasil penglibatan bank pusat, peniaga pertukaran mata wang asing yang sependapat bahawa ringgit berada di bawah nilai, bersetuju untuk mengekalkan pegangan ringgit bagi tempoh lebih panjang, katanya.

Terdahulu semasa taklimat itu, Abdul Rasheed berkata kenaikan kadar dasar yang lebih besar di negara lain berbanding Malaysia merupakan antara faktor utama yang menyebabkan penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang lain.

“Negara lain telah meningkatkan kadar faedah mereka secara lebih agresif berbanding Malaysia sejak 15 Mac, 2022. Skala kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia berada pada 125 mata asas.

“Contohnya AS telah meningkatkan kadar dasarnya sebanyak 525 mata asas daripada 0.25 kepada 5.50 peratus sejak 15 Mac, 2022. Sementara itu, OPR hanya meningkat sebanyak 125 mata asas daripada 1.75 kepada 3.00 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata skala kenaikan kadar dasar AS yang lebih besar berbanding OPR Malaysia dikaitkan dengan penyusutan 10.5 peratus ringgit berbanding dolar AS setakat 15 Mac, 2024.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata kemerosotan nilai ringgit adalah sementara dan disebabkan oleh faktor luaran.

Sejak awal 2024, ringgit telah susut daripada RM4.60 setiap dolar AS kepada RM4.79 setiap dolar AS pada 20 Februari walau bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat semula kepada RM4.70 setiap dolar AS setakat 15 Mac, katanya.

Beliau berkata dalam memandang ke hadapan, pasaran kewangan menjangkakan ringgit terus meningkat sehingga 2024 dan meneruskan aliran menaik apabila kesan faktor global semakin reda.

“Sebahagian penganalisis membuat unjuran lebih jauh iaitu sehingga 2025 dan menilai ringgit akan terus mengukuh.

“Selain itu, pemulihan pertumbuhan negara serantau juga dijangka meningkatkan aliran masuk ke rantau ini, memberi manfaat kepada Malaysia dan ringgit,” katanya.

Beliau berkata di samping itu, dalam pasaran domestik, prospek ekonomi yang menggalakkan dan pelaksanaan reformasi struktur dijangka memberikan sokongan kepada ringgit.

Namun begitu, BNM kekal berwaspada terhadap faktor yang boleh meningkatkan risiko penyusutan ringgit seperti momentum pertumbuhan China yang lebih perlahan dan harga komoditi global yang sederhana, katanya. -Bernama