IPOH: Polis meminta mana-mana doktor pelatih yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini agar tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata tindakan itu adalah bagi memastikan kes berkenaan dapat disiasat dengan telus dan berlandaskan perundangan.

“Setakat ini kita belum terima sebarang laporan daripada mana-mana individu sama ada penulis surat layang ataupun doktor-doktor pelatih yang mendakwa diganggu secara seksual.

“Pihak polis menggesa mereka supaya tampil buat laporan di mana-mana balai polis. Tindakan ini lebih wajar dilakukan daripada menularkannya di media sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Yahaya berkata pihaknya turut memberi jaminan maklumat diri individu yang membuat laporan akan dirahsiakan.

“Tak perlu khuatir, tak perlu takut. Kita beri jaminan bahawa apa sahaja maklumat berhubung diri mereka yang didakwa menjadi mangsa kita tidak akan bocorkan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Pada 16 Mac lepas, Yahaya dalam kenyataan mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang doktor lelaki berusia 43 tahun yang didakwa terlibat dalam kes gangguan seksual dan ugutan terhadap doktor pelatih di HRPB.

Terdahulu, tular surat layang dimuat naik dalam Facebook dan aplikasi X yang mendakwa doktor terbabit sering melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih wanita khususnya di Jabatan Ortopedik, selain mengugut untuk memanjangkan tempoh latihan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata mangsa perlu membuat aduan rasmi kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Beliau berkata siasatan secara menyeluruh boleh dilakukan sekiranya aduan tersebut dibuat mengikut saluran ditetapkan.

“Bagi menjalankan siasatan itu majikan harus menerima aduan secara bertulis. Mesti ada (aduan) daripada seorang pengadu. Tanpa pengadu, apa hendak disiasat.

“Kalau ada masalah (membabitkan) doktor pelatih boleh membuat aduan di hospital. Kita tidak akan menutup (isu berkenaan) sebab ini ialah satu pertuduhan jenayah yang berat,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Program Pemerkasaan Orang Asli anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Kampung Batu 10, Jalan Pahang di sini hari ini. -Bernama