KOTA KINABALU: Hasrat Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd (TEWM) untuk memiliki 99 peratus tenaga kerjanya dalam kalangan rakyat Sabah adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) berkata beliau difahamkan syarikat terbabit menyasarkan untuk mencapai tahap 70 peratus tenaga kerja dalam kalangan rakyat Sabah dalam tempoh dua tahun ini, manakala kepada 99 peratus menjelang tempoh lima tahun.

“Pengwujudan pekerjaan bagi individu mahir dan separa mahir dari Sabah perlu diberi perhatian,” katanya dalam ucapan pada perasmian kemudahan pengurusan sisa bersepadu di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

Beliau berkata pemuliharaan terhadap alam sekitar dan pembangunan lestari merupakan tonggak kepada Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Sudah tiba masanya untuk Sabah mempunyai kemudahan dengan piawaian baharu bagi pengurusan sisa berjadual menerusi amalan inovasi dan teknologu termaju, menawarkan penyelesaian yang disesuaikan dengan pelbagai keperluan industri,” katanya.

Menurut Hajiji kemudahan yang dilancarkan oleh TEWM di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) itu mendukung amalan pembangunan lestari merentasi industri selain menyaksikan jumlah rawatan lebih besar bagi sisa kimia baharu, meminimumkan kesan terhadap tanah dan mengurangkan pencemaran.

“Menerusi promosi amalan lestari alam sekitar, kami meletakkan asas untuk masa depan yang lebih hijau dan lebih berdaya tahan. Saya ingin melihat Tex Evolusi menetapkan piawaian baharu dan amalan terbaik untuk dicontohi semua.

“Kemudahan ini bukan sahaja melengkapkan usaha kelestarian alam sekitar kami, tetapi juga merupakan langkah kukuh dalam pemindahan teknologi,” katanya.