KOTA KINABALU: Operasi pembenihan awan bagi menghasilkan hujan di Sabah telah dimulakan pagi ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar).

Beliau berkata pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia yang menjalankan operasi itu berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada kira-kira 9 pagi tadi.

“Semoga dipermudahkan segalanya,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebooknya hari ini.

Hajiji turut berkongsi gambar pesawat C-130 Hercules milik TUDM berpangkalan di Labuan bersama kru yang menjalankan operasi itu.

Selain TUDM, operasi itu dijalankan bersama agensi lain antaranya Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Sabah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan Jabatan Bekalan Air Labuan.

Semalam, Hajiji dilaporkan berkata MetMalaysia telah mengesyorkan operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan terjejas akibat cuaca panas dan kering bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Beliau berkata operasi pembenihan awan akan dijalankan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan, dengan kos ditanggung NADMA manakala MetMalaysia menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal. -Bernama