KOTA KINABALU: Rakyat di Sabah diminta agar terus mengekalkan perpaduan dan bersama-sama mengukuhkan iltizam untuk membangunkan serta memajukan negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar).

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri turut memaklumkan kerajaan Sabah yang dipimpinnya sejak lebih tiga tahun lalu telah mengharungi pelbagai bentuk ujian dan cabaran, bermula ketika serangan pandemik Covid-19 hingga kepada isu ekonomi serta pergolakan politik.

Menurut beliau berkat kesabaran, kecekalan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, semuanya dihadapi secara bersama dengan penuh tabah serta bijaksana.

“Dalam masa sama, saya juga berasa bangga kerana Sabah dianugerahi kepelbagaian budaya dan kepercayaan namun kita dapat hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keadaan ini telah membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan negara ke tahap yang lebih baik. Inilah pentingnya keamanan biarpun berbeza agama, budaya dan kepercayaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan pertugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu berkhidmat demi untuk negara termasuk pada musim perayaan.

“Tidak dilupakan kepada mereka yang serba kekurangan untuk terus diingati dan dibantu terutama pada musim perayaan ini. Saat ini juga adalah masanya untuk kita saling kunjung-mengunjungi untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai,” katanya.