SHAH ALAM: Pengguna disaran tidak menghebahkan maklumat berhubung kenaikan harga barangan yang tidak munasabah dalam media sosial tetapi melaporkannya terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN Datuk Rohaizi Bahari (gambar) berkata ia antara lain bagi memastikan bukti berkenaan harga makanan atau barangan di pasaran yang tidak munasabah itu tidak hilang sebelum penguat kuasa kementerian melaksanakan siasatan.

“Kalau lihat ada sesuatu harga barangan yang tidak munasabah dan ingin buat aduan, pengguna digalakkan untuk terus laporkan kepada KPDN ... dari situ, pihak kami boleh turun pantau dan siasat.

“Apabila ditularkan, ada (kemungkinan) bukti itu hilang dan sebagainya. Jadi lebih baik maklumkan kepada KPDN dan kita akan hantar pasukan penguat kuasa dengan segera untuk melihat aduan berkenaan,” katanya mengulas tindakan kementerian itu dalam menangani kenaikan harga barangan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Pasar Raya AEON Setia Alam di sini hari ini.

Rohaizi berkata aduan yang tepat dan terperinci perlulah dibuat di saluran yang betul supaya pihaknya dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan sesegera mungkin.