IPOH: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) komited dalam memastikan ekosistem alam sekitar di sepanjang jajaran lebuh raya itu terpelihara di samping sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Syed Mohammed Idid berkata ciri keselamatan sepanjang pembinaan lebuh raya itu juga mengikut spesifikasi ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Beliau berkata WCE telah menjalankan pelbagai usaha termasuk pembinaan dua lintasan hidupan liar di KM249.7 dan KM248.3 jajaran Seksyen 11 itu untuk melindungi habitat dan kelestarian hidupan liar.

“Dalam memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan ekosistem setempat sentiasa selamat, WCE akan mengukuhkan kerjasamanya dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi melaksanakan pelbagai langkah proaktif.

“Kerjasama tersebut melibatkan pemantauan dan penyeliaan berterusan bagi memastikan insiden melibatkan haiwan liar di sepanjang laluan lebuh raya tidak berulang pada masa hadapan,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, Syed menasihatkan pelanggan WCE supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada semasa memandu serta mengikut had laju untuk keselamatan diri masing-masing.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan seorang individu menemukan bangkai seekor harimau dahan yang telah dihurung lalat dan berbau busuk di tepi penghadang besi lebuh raya berkenaan di Kilometer (KM) 253.3 WCE, Seksyen 11 arah Trong menghala ke Beruas, dipercayai dilanggar kenderaan.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff kemudiannya ketika dihubungi berkata pihaknya telah mengalihkan bangkai harimau itu petang semalam selepas menerima aduan daripada polis bantuan WCE. -Bernama