GEORGE TOWN: Pulau Pinang berjaya mengutip hasil negeri berjumlah RM574.56 juta setakat 31 Okt tahun ini, melebihi sasaran RM506.02 juta untuk keseluruhan 2021 selepas mencapai kutipan hasil RM467.28 juta pada 2020.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (pix) berkata pada tahun lepas, kerajaan negeri menganggarkan hasil 2020 berjumlah RM519.16 juta, namun, sasaran itu tidak tercapai akibat kesan pandemik Covid-19.

Menurutnya, anggaran perbelanjaan 2020 sebanyak RM792.66 juta dan prestasi perbelanjaan sebenar berjumlah RM734.06 juta.

“Anggaran bajet mengurus bagi 2021 berjumlah RM909.82 juta termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) berjumlah RM200 juta. Perbelanjaan mengurus sehingga 31 Okt tahun ini berjumlah RM593.02 juta berbanding anggaran,” katanya.

Beliau menjawab soalan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) mengenai prestasi hasil kerajaan negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Chow berkata kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk mengawal perbelanjaan emolumen dan perkhidmatan dan bekalan yang meningkat setiap tahun, antaranya mengawal pewujudan jawatan, mengawal perbelanjaan peruntukan mengurus jabatan-jabatan negeri bagi mengelakkan pembaziran dan memberi keutamaan untuk pembiayaan projek atau program yang benar-benar perlu.

Katanya antara perbelanjaan yang diberi keutamaan adalah Program Bantuan Khas (Penang Lawan Covid-19) untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik dan merangsang semula pertumbuhan ekonomi negeri.

“Bagi perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM191.21 juta yang merangkumi lima fasa Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan Covid-19) berjumlah RM176.44 juta dan insentif tambahan 2021 berjumlah RM14.77 juta,” katanya.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image