SUNGAI PETANI: Pemberhentian sementara operasi perniagaan pasar malam pada waktu Maghrib yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Mei di Kedah hanya membabitkan peniaga beragama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Mejar (B) Mansor Zakaria berkata penguatkuasaan peraturan ini selaras dengan Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) yang bersidang pada 21 Feb lepas.

“Penguatkuasaan peraturan itu hanya membabitkan aktiviti perniagaan pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak swasta.

“Peniaga bukan Islam khususnya di pasar malam yang dianjurkan di kawasan sekitar rumah ibadat bukan Islam atau waktu perayaan bukan Islam, tidak tertakluk kepada peraturan berkenaan,“ katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Mansor berkata masa untuk memberhentikan perniagaan dalam tempoh 10 minit sebelum Maghrib dan 10 hingga 15 minit selepas Maghrib.