KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menyambut baik inisiatif terbaru, Program Insentif Latihan Amali (ILHAM) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang diumumkan oleh Yang Berhomat Steven Sim Chee Keong (gambar), Menteri Sumber Manusia baru baru ini. ILHAM bakal mewujudkan ekosistem komprehensif dalam memupuk bakat muda tempatan untuk jangka panjang.

Menyahut seruan Yang Berhormat Steven Sim, HRD Corp komited untuk menjayakan mandat yang diberikan menerusi penambahbaikan kepada Skim Latihan Perindustrian atau Industrial Training Scheme (ITS) HRD Corp dengan meningkatkan bantuan kewangan yang dibenarkan daripada 20% kepada maksimum sehingga 50% dari baki levi majikan pada Januari untuk tahun taksiran ITS tersebut. Ini akan dilakukan menerusi penajaan pelajar kolej, universiti dan institusi latihan yang sedang menjalani latihan industri di organisasi mereka.

Tajaan boleh dilakukan menerusi pembayaran elaun latihan bulanan oleh majikan kepada pelatih dan juga semua tuntutan kewangan menerusi keperluan para pelatih yang sedang menjalani latihan amali tersebut.

Selain itu, terma had siling untuk elaun latihan bulanan yang boleh dituntut untuk setiap pelatih di bawah skim ITS juga telah dimasuhkan. Ini bermakna, tiada lagi had jumlah bayaran elaun latihan amali untuk dituntut oleh majikan yang menggajikan calon pelatih latihan amali di organisasi mereka. Ini akan ditentukan oleh pasaran semasa yang dipersetujui oleh majikan.

Antara pengumunan penambahbaikan lain termasuk membolehkan majikan untuk membuat tuntutan kos latihan lain yang disertai pelatih mereka termasuk kursus persijilan professional.

Untuk melayakkan majikan menggunakan kemudahan peruntukan ITS, majikan hendaklah memastikan pelatih menjalani latihan industri tidak kurang dari dua (2) bulan dan tidak melebihi 12 bulan latihan di premis majikan tersebut. Ini bakal membolehkan majikan membayar upah latihan industri pelatih latihan amali sehingga setahun melalui peruntukan tuntutan levi mereka.