CHENGDU: Pasukan badminton India terus bersemangat dan tidak terganggu oleh tekanan mempertahankan kejuaraan Piala Thomas, dengan setiap pemain berazam untuk muncul sebagai juara sekali lagi di China.

Dengan kenangan meraih kejayaan bersejarah merangkul kejuaraan sulung Piala Thomas di Bangkok dua tahun lepas masih segar di ingatan, pemain beregu lelaki utama India Satwiksairaj Rankireddy berkata rakan sepasukannya cukup bersemangat untuk berdepan cabaran mengekalkan kejuaraan.

“Semua pemain begitu bersemangat dan serius untuk pertandingan ini. Tiada tekanan.

“Kami menganggapnya sebagai satu cabaran dan akan melakukan yang terbaik sambil menikmati suasana di sini. Saya percaya kami telah kembali mendapat rentak dan akan dapat merangkul kejuaraan sekali lagi di sini,” katanya kepada pemberita di zon campuran di sini hari ini.

India mengejutkan juara 14 kali Indonesia, 3-0, untuk merangkul trofi pada final edisi sebelum ini yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok.

Sementara itu pemain perseorangan lelaki India, H.S. Prannoy bertekad mengetepikan tekanan dan menggesa rakan sepasukannya untuk berjuang sepenuh hati dalam memastikan Piala Thomas terus berada di dalam genggaman.

“Jelas sekali kami menjadi perhatian ramai peminat badminton sejak menjuarai edisi lepas. Ada banyak pasukan yang kuat di luar sana dan saingan akan menjadi lebih sukar dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

India berjaya ke suku akhir hari ini setelah menumpaskan pasukan England 5-0.

India yang memulakan kempen dengan kemenangan 4-1 ke atas Thailand Sabtu lepas akan bertemu Indonesia Rabu ini untuk menentukan juara Kumpulan C.

Piala Thomas 2024 akan berakhir 5 Mei.