KOTA KINABALU: Seorang lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Upik”.

Mohd Fikrie Isme, 28, merupakan individu ke-14 didakwa selepas 11 individu termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa pada 22 Jan lepas dan dua lagi didakwa pada 1 Mac lepas.

Mohd Fikrie didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di Kota Kinabalu antara 2022 hingga 12 Okt 2023.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Fikrie yang tidak diwakili peguam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail memohon kes Mohd Fikrie dipindahkan ke Mahkamah Tinggi bersama 13 tertuduh sebelum ini, dan Noor Hafizah membenarkan permohonan berkenaan.

Kesemua 13 tertuduh itu ialah Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45; Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Datuk Maslan Sani, 41; Nelson Yen Yee Chung, 46; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41; Mahathir Jibarail, 49, Norsyafilah Pawawoi, 28 dan Zulkahar Dusing, 29. -Bernama