KOTA KINABALU: Seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,000 tiga tahun lepas.

Insp Liffindy Zubin, 45, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Jason Juga.

Dia didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang RM500 daripada seorang individu melalui pindahan wang daripada akaun bank milik individu berkenaan ke akaun bank atas namanya, sebagai balasan untuk melindungi perniagaan syarikat Tang Buan Seng Credit Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di daerah Tuaran antara 24 Dis dan 23 Nov 2021.

Inspektor polis itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Jason Juga membenarkan dia diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan, dengan syarat melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan dua bulan sekali serta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Sabrina Ali manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye.

Semalam beberapa media melaporkan SPRM menahan seorang pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima wang rasuah RM500 sebulan berjumlah RM4,000 daripada syarikat pengurup wang berlesen, sebagai balasan melindungi perniagaan syarikat itu. -Bernama