TANJONG KARANG: Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (gambar) telah memfailkan usul bagi merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Beliau berkata usul itu adalah berkaitan kenyataan Wan Saiful di Parlimen semalam yang dianggap sangkaan jahat dan cuba mengelirukan dewan dengan tuduhan terhadap dirinya sebagai 'ejen' yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk menyokong kerajaan.

“Kenyataan itu juga dilihat semata-mata untuk mengaibkan atau mengheret saya dalam agenda peribadi beliau bagi memburukkan imej saya selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga menyokong Kerajaan MADANI.

“Usul telah dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pagi tadi bagi membolehkan saya membalas sangkaan jahat itu di Dewan Rakyat, Isnin ini,“ kata beliau pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Zulkafperi menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai tidak bertanggungjawab dan beliau tidak dapat memberikan penjelasan semasa tuduhan dibuat kerana terpaksa pulang bagi menyambut kunjungan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Tanjong Karang.

“Oleh kerana saya tiada di Dewan Rakyat semasa kenyataan itu maka saya akan bawa usul tersebut bagi membetulkan sangkaan jahat yang dibuat,“ katanya.

Semalam, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image