KUALA LUMPUR: Badan bebas First Instance Body (FIB) bersedia mengambil tindakan tegas terhadap Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), sekiranya gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan kedua-dua pasukan itu pada tarikh akhir kedua pembayaran 30 Mac ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan memaklumkan kedua-dua pasukan itu, gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023, pada tarikh pertama 15 Mac lepas seperti yang ditetapkan oleh FIB.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam kenyataan itu berkata pihaknya sedia maklum KL City baru sahaja mengalami perubahan pengurusan peringkat tertinggi dan penaung KL City Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi), telah tampil menyatakan untuk menyelesaikan urusan gaji tertunggak dengan segera.

“FIB juga telah menerima surat rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju menyalurkan sumbangan, bagi menyelesaikan bayaran tunggakan gaji KL City bagi tahun 2023 sebelum akhir Mac 2024,” katanya.

Manakala bagi KDA FC, beliau berkata kelab itu telah menyerahkan bukti pembayaran sejumlah RM600,000 sebagai bayaran sebahagian tunggakan gaji semasa, bagaimanapun ia tidak mematuhi bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji seperti ditetapkan.

“Namun begitu, FIB telah menerima bukti kewangan sumber dana yang akan diterima KDA FC dalam masa terdekat,” katanya.

Sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM50,000 serta merta, akan dikenakan berdasarkan kepada Perkara 2.4 (c) Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

“FIB juga akan menilai semula status lesen kelab tersebut, jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga Malaysia (Liga-M) yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, badan bebas itu turut membuat keputusan tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Perlis United FC (PUFC), berikutan kegagalan memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa M3 Liga Bolasepak Amatur (AFL) pada 7 Mac lepas.

Sheikh Mohd Nasir berkata FIB menetapkan syarat untuk memastikan semua usaha wajar kewangan diselesaikan, sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada PUFC mengikut empat kriteria tambahan, sebelum tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac lepas.

Bagaimanapun PUFC didapati gagal tiga daripada empat syarat awal itu, dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan telah melanggar semua tarikh akhir yang diberikan.

Beliau berkata, ia termasuk bukti dana diterima dalam akaun PUFC berjumlah RM5 juta seperti dalam cek yang dikemukakan sebelum 9 Mac, selain pengisytiharan ditandatangani pegawai dan pemain bahawa tiada hutang tertunggak pada 31 Dis sebelum 13 Mac.

Mengulas lanjut, bukti perjanjian penajaan dicop antara PUFC dan setiap satu daripada empat penaja berpotensi yang akan diserahkan sebelum 15 Mac, serta pembayaran dana tajaan pertama diterima PUFC daripada penaja di atas berdasarkan syarat pembayaran tajaan sebelum 22 Mac ini juga perlu dikemukakan.

“Kegagalan PUFC untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan tersebut, menyaksikan hanya 13 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super bagi musim 2024/2025,” katanya. -Bernama