SEREMBAN: Orang ramai atau mangsa penderaan dan pengabaian dinasihatkan tidak berkongsi video atau gambar kejadian itu sebagai kandungan media sosial, sebaliknya perlu terus melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa atau di Talian Kasih 15999.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (gambar) berkata pengadu perlu memberikan maklumat lengkap bagi memudahkan pengesanan dan siasatan kes dan mereka tidak perlu khuatir kerana maklumat peribadi akan dirahsiakan.

“Kita tidak mahu orang ramai hanya kongsi kandungan di sosial media sebab itu kita bagi nombor 15999, kita mahu mereka gunakan perkhidmatan itu sepenuhnya supaya kita boleh menyiasat terus, tahu lokasi, siapa terlibat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak yang disertai 800 peserta termasuk pelajar sekolah rendah di sini hari ini.

Nancy berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, seramai 7,520 kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada tahun lepas dengan 405 daripadanya di Negeri Sembilan.

Justeru beliau berkata masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam perlindungan kanak-kanak dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya golongan itu terdedah atau terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian.

“Semua pihak perlu cakna terhadap hak kanak-kanak. Sekiranya berlaku apa-apa mencurigakan, termasuk didera ibu bapa atau ahli keluarga di dalam rumah, dapatkan pertolongan segera.

“Selain itu, guru juga perlu menjadi orang yang dipercayai, apa-apa berlaku di rumah, anak-anak terpaksa cari guru, kalau guru juga jadi orang dicurigai maka hancurlah harapan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Nancy berkata program advokasi perlindungan kanak-kanak itu bertujuan menggerakkan masyarakat termasuk ibu bapa, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta komuniti setempat dalam memastikan hak kanak-kanak sentiasa dilindungi.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 300 sekolah dilibatkan dalam program berkenaan yang telah dilakukan di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.