IPOH: Jenazah 10 mangsa tragedi dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini petang ini.

Jenazah kesemua mangsa dibawa dengan van jenazah TLDM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dua ambulans tiba pukul 6 petang untuk tujuan bedah siasat setelah menjalani proses pengecaman waris di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Lumut, sejak tengah hari tadi.

Nahas membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) yang berlaku pada 9.32 pagi tadi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

Sementara itu, waris-waris mangsa yang tiba di HRPB sejak 4 petang tadi masih tidak bersedia ditemu bual media.