NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam proses perolehan 20 ekor anjing pengesan dadah serta tiga unit mesin pengimbas 'backscatter' bagi memastikan usaha membanteras penyeludupan dadah di negara ini lebih efektif.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata pihaknya akan menerima anjing pengesan iaitu jenis Labrador dan German Shepherd melibatkan kos RM1.9 juta, Jun ini.

“Ketika ini Kastam mempunyai 20 anjing pengesan dadah, perolehan baharu ini juga 20 ekor akan diletakkan di setiap negeri. Bagi kos mesin backscatter itu saya tidak mempunyai maklumat terperinci.

“Kita juga sedang mengkaji sistem pengesan diguna pakai seperti di Korea Selatan kerana di sana ada sistem saringan canggih dan kita harap sistem digunakan itu nanti ialah mesin pengimbas yang mempunyai keupayaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan dadah,“ katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Kastam, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan menerusi sistem imbasan digunakan di Korea Selatan itu, semua bungkusan disaring dan imej itu dihantar kepada kumpulan pegawai kastam yang bertugas dalam bilik kawalan.

Menurutnya kira-kira 20 pegawai kastam yang berada dalam bilik kawalan itu akan mengenal pasti imej barangan dihantar daripada kurier melalui skrin disediakan dan sekiranya terdapat barangan mencurigakan, syarikat kurier terbabit akan dipanggil untuk pemeriksaan lanjut barangan tersebut.

Dalam pada itu Sazali berkata bagi suku pertama tahun ini, JKDM merekodkan rampasan 139 kes narkotik bernilai RM29.556 juta melibatkan lima jenis komoditi narkotik dan perkhidmatan kurier merekodkan 73 peratus daripada jumlah perolehan kes.

Beliau berkata rampasan melibatkan 27 kes Methaphetamine dengan nilai RM27 juta selain lima kes heroin, tujuh kes ekstasi, 56 kes ganja dan dua kes ketamin.