ALOR GAJAH: Para pengguna dinasihatkan agar perlu lebih peka dengan keadaan juadah makanan dan minuman yang dibeli di bazar Ramadan bagi menggelakkan kejadian membeli makanan basi atau telah dicemari seperti lalat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka Dr Ruzita Mustaffa berkata peranan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual makanan adalah penting dalam memastikan makanan yang dibeli dan dijual adalah bersih dan selamat untuk dimakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan sesi tinjauan mesra bazar Ramadan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di Bazar Ramadan Alor Gajah di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Ngwe Hee Sem

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas insiden tular melibatkan seorang pengunjung dari Johor Baharu yang singgah membeli sup daging di Bazar Ramadan Semabok namun terdapat telur lalat di dalam rongga sup tulang yang dibelinya ada Selasa lalu.

Dr Ruzita berkata JKN Melaka menghantar pasukan untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian di gerai berkenaan dan didapati ada beberapa perkara yang tidak patut dilakukan, dan pihaknya memberi bimbingan kepada bukan sahaja kepada pengendali gerai berkenaan tetapi semua gerai yang lain.

“Kita juga telah mengambil sample dari proksi makanan berkenaan dan menghantarnya ke makmal untuk menguji mikroorganisma berisiko yang terdapat dalam juadah itu, dan daripada keputusan makmal kita akan tengok sama ada dia melanggar peraturan atau tidak, dan ketika itu tindakan perundangan baru kita ambil,“ katanya.

Sementara itu Ngwe berkata 392 premis perniagaan di bazar Ramadan, enam kilang ais dan 30 hotel di Melaka telah diperiksa menerusi Operasi Ramadan (Ops Ramadan) sejak 12 hingga 14 Mac lepas.

Katanya 150 notis amaran turut dikeluarkan kepada pengendali makanan dan 12 kompaun dengan nilai RM10,300 dikenakan ke atas 11 hotel dan sebuah kilang ais melalui pemeriksaan yang dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah pelbagai terutamanya melibatkan kebersihan di bawah Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya. -Bernama