KOTA BHARU: Sebanyak 17 kes kecederaan akibat bermain mercun dan bunga api dicatatkan di Kelantan sejak 19 Mac sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin (gambar) berkata dua daripada mangsa yang cedera itu ialah perempuan.

Beliau berkata sebanyak 12 kes dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, tiga kes lagi menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai manakala dua kes dirawat di Hospital Pasir Mas.

“Kesemua mangsa berusia antara empat hingga 40 tahun namun kebanyakan mangsa berusia tujuh hingga 16 tahun dan paling ramai berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

“Empat daripada mangsa yang cedera dimasukkan ke wad manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata antara kecederaan yang dialami mangsa di bahagian tangan, muka dan mata.