GUA MUSANG: Jalan alternatif dari Kampung Kundur ke Bandar Lama Gua Musang (laluan D238) akan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Jambatan Kampung Kerinting yang baharu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dalam kenyataan hari ini memaklumkan laluan berkenaan akan ditutup dalam tempoh lebih setahun bagi membolehkan kerja-kerja meroboh jambatan besi sedia ada.

“Semua pengguna diminta menggunakan laluan FTI85, F12747 dan FI008 untuk ke Bandar Lama Gua Musang jika dari laluan FT 85 (Cameron Highlands atau Kuala Betis) dan laluan D29 (Jalan Jelawang).

“Bermula 23 April hingga 4 Nov tahun depan, laluan ini ditutup bagi semua jenis kenderaan untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan baharu,” menurut JKR.

JKR memaklumkan tempoh penutupan jalan akan dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa di tapak projek pembinaan.

JKR turut memberitahu papan tanda akan dinaikkan di kawasan berhampiran tapak pembinaan sebagai panduan kepada semua pengguna jalan raya.

“JKR berharap agar semua pengguna jalan raya mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang telah disediakan

“Pengguna jalan raya dialu-alukan untuk berhubung dengan Pejabat Jajahan Gua Musang melalui talian 09-9121040 bagi maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.