PAPAR: Seramai 150,000 penduduk terjejas akibat bencana kemarau yang berlaku di Papar sehingga hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar Mohd Fuad Abdullah.

Beliau, yang juga Pegawai Daerah Papar, berkata bencana itu juga mengakibatkan sebanyak 42 buah kampung, tujuh sekolah, tujuh taman perumahan dan tiga rumah ibadat dalam daerah itu turut terjejas.

“Operasi menghantar bekalan air bersih dijalankan di empat kawasan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu Sekolah Kebangsaan Pantai Manis, Kampung Timbangan, Palm Condominium dan Gereja Kampung Limbahau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya penghantaran bekalan air bersih melibatkan aset serta logistik daripada jabatan serta agensi terlibat antaranya tujuh buah lori tangki berkapasiti 10,000 liter daripada Jabatan Air Negeri Sabah dan masing-masing sebuah lori Majlis Daerah Papar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau.

DUN Kawang (tiga lori), Parlimen Papar (1), Jabatan Kerja Raya (2), DUN Pantai Manis (1) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah (sebuah lori rescue tender).

Mohd Fuad berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar merekodkan sembilan kes kebakaran di daerah itu sejak 9 Mac lalu, terbaharu kebakaran lalang di kawasan seluas 0.81 hektar di Pengalat Besar pada 12.07 tengah hari tadi.

Beliau berkata kemarau di daerah ini turut menjejaskan sektor pertanian khususnya 93 orang pesawah padi di Mukim Limbahau dengan keluaasan 54.68 hektar dan Mukim Biau Padawan dengan keluasan 30.22 hektar.

“Dalam aspek pencegahan kebakaran, Jabatan Penerangan Negeri Sabah khususnya Pejabat Penerangan Daerah melaksanakan ’ Info On Wheels (IOW)’ di tiga lokasi iaitu Kampung Berundong, Kampung Bambangan dan Kampung Beringgis,” katanya.

Katanya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang dianggotai pelbagai agensi dan jabatan telah diaktifkan dan beroperasi 24 jam di Aras 1, Bangunan Urus Setia Daerah Papar serta boleh dihubungi di talian 088-914999.

“Kerajaan Sabah sentiasa cakna dan akan terus memantau perkembangan bencana ini bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal,” katanya. -Bernama