JELI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar taktik pemilik van dari Thailand yang membawa masuk pelancong dari negara itu tanpa lesen yang sah dalam operasi khas van putih, semalam.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata modus operandi itu dikesan selepas JPJ menerima aduan dan risikan di kawasan pintu sempadan Malaysia-Thailand berdekatan daerah Jeli dan Rantau Panjang.

Beliau berkata dalam operasi itu, JPJ mengesan ulat pelancong dan menahan 15 van dari negara itu kerana menyalah guna permit pengedaran antarabangsa.

“Operasi khas ini dilakukan bersama Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi mengesan ulat-ulat pelancong yang menggunakan van dari Thailand membawa masuk pelancong ke negara ini,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Lokman berkata hasil siasatan JPJ mendapati van yang dimiliki individu digunakan bagi menjalankan perniagaan membawa masuk pelancong ke negara ini.

“Hasil siasatan JPJ, dipercayai setiap pelancong atau penumpang van itu dikenakan bayaran tertentu untuk satu perjalanan untuk memasuki negara ini.

“Tindakan ini jelas memberi kesan kepada industri pengangkutan awam di negera ini,“ katanya menambah kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Menurutnya, kesalahan terlibat ialah menjalankan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah. -Bernama