KUALA LUMPUR: Di sebalik perkhabaran gembira jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan (gambar) mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menamatkan kempen kelayakan terakhir di Phuket, Thailand, timbul kerisauan mengenai jumlah angkatan keseluruhannya ketika ini.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata badang negara itu sekadar berhasil melakukan angkatan keseluruhan 290 kilogram (kg) berbanding sasaran 300kg diletakkan badan induk sukan itu di Kejohanan Piala Dunia IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa) yang sedang berlangsung.

“Memang kita lihat sebelum pergi ke Phuket pun kedudukan beliau tidak akan terjejas dengan persembahan di kejohanan itu. Kita cuma letak sasaran untuk mempertingkatkan ranking dan jumlah angkatan.

“Syukur dia sah ke Paris, cuma di Phuket ini kurang memberangsangkan. Sebelum ini kita berlatih di Acheh selama sebulan untuk perkemaskan angkatan, tapi tak tahu atas faktor apa ia tidak menjadi, jadi kita akan kaji. Dia pernah catat 296kg di Qatar (Disember lepas),” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata perkara itu menimbulkan kerisauan, tatkala atlet negara lain sudah mula menunjukkan peningkatan daripada segi jumlah angkatan keseluruhan melebihi 300kg sebagai bekalan selesa bersaing di Sukan Olimpik Paris.

“Sedangkan atlet Amerika Syarikat dan Thailand yang mempunyai jumlah angkatan di bawah Aniq sebelum ini telah melepasi beliau dengan jumlah cukup mengagumkan. Untuk dapatkan pingat (Olimpik) perlu sekurang-kurangnya dapat angkat jumlah angkatan 300kg hingga 310kg.

Ayub berkata beliau telah meminta pihak jurulatih untuk melihat punca kemerosotan prestasi atlet berkenaan.

Beliau berkata atlet berusia 21 tahun itu akan terbang seminggu awal ke Paris sebagai persiapan menyesuaikan diri dengan keadaan di sana sebelum beraksi pada temasya berprestij itu yang berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Semalam Mohamad Aniq Kasdan muncul atlet keenam negara mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Mohamad Aniq menyertai lima atlet lain yang layak ke Paris 2024 sebelum ini iaitu Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya). -Bernama