KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mengalami kecederaan teruk di kaki kiri dipercayai dicederakan anak jiran pengasuhnya di sebuah rumah di Kajang pada 11 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohamad Nasir Drahman yang mengesahkan kejadian itu berkata kanak-kanak warga Indonesia itu dipercayai dicederakan oleh kanak-kanak lain.

Sehubungan itu, beliau berkata lima individu akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penganiayaan/pengabaian ke atas kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil di mana-mana balai polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Tasnim Muhamed Nor di talian 0146209960 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri menerusi hantaran di laman X memaklumkan pihaknya sedang menyiasat perkara itu selepas ditularkan seorang pengguna X semalam.

“Saya telah diberitahu bahawa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berhubung dengan ibu kepada kanak-kanak tersebut. Kes ini sedang disiasat oleh Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat.

“KPWKM sentiasa mengambil berat kes yang berkaitan dengan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak. Sekiranya anda mengetahui atau melihat kejadian yang melibatkan kanak-kanak, sila laporkan kepada Talian Kasih 15999,” katanya.