KOTA BHARU: Jabatan Kastam Kelantan merampas enam kereta klon dan lima motosikal yang diseludup dari negara jiran dianggarkan bernilai RM579,418 dalam operasi khas yang dijalankan selama dua bulan bermula 15 Feb hingga 15 April lepas.

Pengarah Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan itu dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa Kastam Kelantan selepas menerima aduan dan risikan berkaitan kegiatan itu.

Beliau berkata operasi dan rampasan ini bukan hanya dilakukan di Kelantan, malah turut dirampas di Selangor, Johor Bharu dan Kedah apabila kastam menerima maklumat dan risikan.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan itu adalah dengan membawa masuk kenderaan terbabit secara persendirian atau melalui sindiket yang beroperasi di negeri bersempadan dengan negara ini.

“Kesemua kereta klon itu dipercayai dibawa masuk dari Singapura sebelum dijual dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran semasa kepada pembeli di negara ini,” katanya dalam sidang media di cawangan penguatkuasaan kastam di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam berkata motosikal jenis RXZ diseludup melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dengan menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga kira-kira RM7,000 hingga RM8,000.

Beliau berkata kereta yang dirampas diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah jadual Kedua, Bahagian I, Butiran 3 (2) perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Motosikal yang dirampas diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian II, Butiran 7, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1957,“ katanya.