NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan satu cubaan mengedar dadah selepas merampas 380 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM12.54 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Mac lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata dadah itu dikesan selepas anggota Cawangan Narkotik Kastam menyita satu palet mengandungi 40 kotak yang diikrar sebagai pemacu cakera keras, dalam pemeriksaan pada pukul 7.30 malam.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati 32 daripada kotak itu mengandungi bungkusan teh herba Cina yang diisi dengan bahan kristal jernih disyaki methamphetamine.

Berdasarkan siasatan awal barangan itu didapati dihantar dari Kompleks Kargo Udara Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 18 Mac menggunakan laluan darat ke Kompleks Kargo Udara KLIA untuk dieksport ke Sydney, Australia menggunakan laluan udara.

“Tiada tangkapan dilakukan, kita syak dadah ini berasal dari luar negara iaitu segi tiga emas,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sazali berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dengan rampasan itu, dianggarkan 1.9 juta individu dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah. -Bernama