KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) menumpaskan sindiket penyeludupan gegelung besi, tembakau sedut serta minuman keras bernilai RM20.59 juta menerusi serbuan di sekitar Pelabuhan Klang pada 13, 18 dan 19 Mac lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail (gambar) berkata bagi rampasan tembakau sedut (snuff tobacco), pasukannya menemukan produk itu setelah menyita sebuah kontena di Pelabuhan Utara pada 18 Mac lepas, dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Selatan.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kontena menemukan sejumlah 'snuff tobacco' seberat 17.5 tan metrik dengan anggaran nilai dan duti serta cukai berjumlah RM14,297 juta yang disyaki tidak mempunyai permit import sah.

“Siasatan mendapati pengikraran tidak benar telah dibuat ke atas dagangan dengan mengikrar sebagai ‘Used Clothing’ dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit bersalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,“ katanya.

Norlela berkata dalam operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Forte 2024 itu juga, JKDM Zon Tengah pada 19 Mac telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas, Pelabuhan Barat dan merampas 221 gegelung 'steel coil', bernilai RM4.86 juta.

Dua lelaki tempatan berumur 35 dan 41 tahun dipercayai pengurus gudang dan pemilik dagangan itu turut ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Norlela berkata modus operandi sindiket itu dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas deskripsi dagangan dan dalam kes ini, pengikraran yang dibuat telah menggunakan kod tarif yang tidak dikenakan duti import, cukai jualan dan selain tidak tertakluk kepada duti antilambakan.

“Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM3,319,500 membabitkan kuantiti rampasan gegelung. Jumlah duti import dan duti antilambakan dianggarkan berjumlah RM1,542,200,“ katanya.

Bagi kes minum keras pula, beliau berkata dua operasi berbeza dijalankan pada 13 Mac dan 18 Mac di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara yang menyaksikan pihaknya merampas 51,228 liter minuman keras pelbagai jenama dari dua buah kontena bernilai RM1.43 juta termasuk duti serta cukai.

“Kedua-dua kes menggunakan modus operandi sama iaitu membuat pengikraran tidak benar iaitu ‘Beer Made From Malt, Machinery for Filing’ dan ‘Other Umbrellas And Sun Umbrellas’ melalui Borang Manifes bagi mengelakkan dikesan oleh pihak JKDM.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,“ katanya. -Bernama