KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan dua lelaki kerana disyaki cuba menyeludup 10,175 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi tempatan ke negara jiran yang dianggarkan bernilai RM20,350 semalam.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika menaiki lori jenis Isuzu berhampiran Jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat, di sini, pada pukul 4 pagi.

Beliau berkata sindiket itu dikesan sejak 14 hari lepas oleh pasukan operasi bahagian penguatkuasaan Kota Bharu.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah menemukan sebanyak 595 kotak minyak masak dianggarkan bernilai RM20,350...dipercayai dibawa dari Ipoh, Perak untuk diseludup ke negara jiran.

“Siasatan kes ini masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik barang dagangan yang telah dirampas iaitu minyak masak peket bersubsidi tempatan,“ katanya dalam sidang media di Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam berkata hasil soal siasat mendapati suspek menerima upah RM300 untuk menghantar bekalan minyak masak itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan khususnya di kawasan sempadan iaitu di Rantau Panjang, Tumpat dan Tanah Merah berikutan jangkaan permintaan tinggi minyak masak paket bersubsidi dari negara jiran pada Ramadan ini.

Katanya faktor halal dan murah menyumbang kepada kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran. -Bernama