KUALA LUMPUR: Jepun akan terus memastikan usaha pelepasan air dirawat dalam Sistem Pemproses Cecair Lanjutan ALPS daripada Loji Nuklear Fukushima Daiichi (FDNPS) tidak memberi kesan negatif terhadap alam sekitar serta makanan laut negara itu yang turut dieksport.

Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Jepun di Malaysia Yosuke Kurotani (gambar) berkata Jepun juga akan terus memantau isu berkaitan keselamatan berkenaan di negara ini.

“Malaysia adalah destinasi keempat terbesar eksport makanan laut laut Jepun di pasaran Asean sebagaimana berdasarkan data rasmi kerajaan.

“Oleh itu, Malaysia sememangnya destinasi penting bagi (pasaran) makanan laut Jepun,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Kurotani juga menegaskan menerusi penglibatan berterusan pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Jepun akan memastikan air dirawat dilepaskan daripada FDNPS yang dilanda tsunami sebelum ini, tidak memberi kesan terhadap kesihatan manusia, alam sekitar dan makanan laut.

“Kami akan terus memberi penjelasan saintifik serta telus, baik di Jepun mahu pun di peringkat antarabangsa,“ katanya.

Pada Januari lepas, IAEA mengeluarkan kenyataan bahawa pelepasan air dirawat ALPS ke dalam laut di loji berkenaan adalah selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa.

Pengendali FDNPS, Tokyo Electric Power Company Holdings Inc (TEPCO) di laman webnya telah memaklumkan mengenai pelepasan air radioaktif dirawat yang bermula pada 24 Ogos, 2023 dan seterusnya kumpulan keempat ke dalam laut pada 28 Feb, 2024.

Bagi tahun fiskal bermula April ini, TEPCO merancang untuk melepaskan kira-kira 54,600 meter padu air dirawat ALPS ke dalam laut.

Sehubungan itu, TEPCO berkata pihaknya akan memastikan pelepasan air berkenaan mematuhi semua peraturan dan undang-undang domestik ditetapkan mengikut saranan Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Radiologi (ICRP).

Bahan radioaktif tritium yang dilepaskan selepas dicairkan dengan air laut adalah pada tahap kepekatan di bawah 1,500 becquerel seliter (Bq/L), jauh lebih rendah daripada piawaian kawal selia Jepun iaitu 60,000 Bq/L manakala garis panduan kualiti air Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk air minuman sebanyak 10,000 Bq/L.

Kurotani berkata susulan tindakan beberapa negara dan wilayah mengenakan sekatan import ke atas produk marin Jepun, kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah sokongan seperti mengalihkan destinasi eksport dan membangunkan saluran jualan untuk perniagaan Jepun yang terjejas akibat sekatan import.

Beberapa negara pula dilaporkan mengenakan sekatan import produk makanan laut dari Jepun.

Malah, mengikut statistik terkini daripada kerajaan Jepun, negara itu mengeksport produk marin bernilai 4.369 bilion yen (100 yen = RM3.18) seperti ikan, telur ikan, krustasia (hidupan laut dengan cangkerang keras seperti ketam) selain produk marin dalam tin ke Malaysia pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tempoh sama pada 2022. -Bernama