KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) akan menyampaikan sumbangan kebajikan sebanyak RM 2,000 kepada atlet judo Kelantan Nur Qistana Auni Mohd Azinor dan Nur Qistina Awliya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata sumbangan kebajikan diberikan kepada kedua-dua atlet itu yang merupakan anak kepada Bintara Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) TNL Nor Rahiza Anuar yang terkorban dalam tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak semalam.

“Kita dalam proses menghubungi ahli keluarga atlet ini dan akan menyampaikan sumbangan secepat mungkin.

“Kami mengucapkan salam takziah kepada kedua-dua mereka yang sepatutnya akan tiba di Kelantan untuk menjalani latihan minggu ini bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia di Sarawak (SUKMA),“ katanya kepada Bernama di Pejabat MSN Kelantan, di sini hari ini.

Menurut Zamakhshari, MSN Kelantan telah menubuhkan pusat latihan judo sejak 2022 dengan kerjasama TLDM Lumut dan kebanyakan atlet berdaftar di bawah pusat latihan itu merupakan anak-anak anggota tentera dan Qistina Awliya serta Nur Qistana Auni terpilih mewakili Kelantan ke SUKMA Sarawak tahun ini.

Dalam kejadian 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM maut dalam tragedi dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.