GUA MUSANG: Kemarau yang berpanjangan menyebabkan sumber air tandak, bekalan air telaga tiub dan air tadahan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula Kuala Betis, di sini terjejas dan mula mengering.

Penduduk Kampung Jenut, Ali Pedik, 59, berkata bahang dan ketiadaan hujan sejak sebulan lepas menyebabkan lebih 3,000 penduduk terpaksa berjimat cermat menggunakan air bersih yang dibekalkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Susulan itu, katanya mereka terpaksa mencari alternatif dengan mendapatkan bekalan air dari Sungai Betis walaupun tahap kebersihannya tidak memuaskan.

“Sumber air daripada air tandak dan air telaga tiub yang ada sekarang ini sudah mula kering sejak bulan lepas, maka kami banyak menggunakan air sungai untuk tujuan mandi, membasuh pakaian dan berwuduk.

“Selain itu, suhu pada waktu tengah hari melebihi 35 darjah Celsius sejak dua hari lepas juga membuatkan bekalan air bersih kami semakin cepat kering,“ katanya kepada Bernama di kampung berkenaan hari ini.

Menurut Ali, Orang Asli di kampung berkenaan tiada pilihan dan terpaksa menggunakan sumber sungai walaupun keruh kerana aktiviti ladang sawit dan getah.

“Kami terpaksa berjalan kaki atau menaiki motosikal untuk mengangkut air dari sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kuzer Kuzairi Anuar, 17, berkata bekalan air bersih di rumahnya hanya digunakan ketika waktu kecemasan pada tengah malam sahaja.

“Saya dan keluarga akan ke sungai untuk mandi dan melakukan semua kerja yang memerlukan air yang banyak di sana.

“Air tandak kita simpan untuk digunakan pada waktu tengah malam sahaja sekiranya terpaksa ke tandas pada waktu itu. Selain itu, kami juga ada menyimpan air yang diangkut dari sungai sebagai bekalan tambahan,” katanya.

Penduduk Kampung Merlong, Laily Jasin, 29, berkata selain bergantung kepada sistem bekalan air bersih sumber telaga tiub dari Kampung Jenut, keluarganya turut menggunakan kaedah tadahan air hujan sebagai alternatif mendapatkan air untuk kegunaan harian.

“Penduduk terpaksa mencuba pelbagai cara untuk memastikan bekalan air cukup untuk digunakan sepanjang musim panas ini. Oleh itu, kami berharap agar pihak JAKOA mempercepat projek membina sistem bekalan air terawat di Kampung Merlong pada tahun ini,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image