LAHAD DATU: Polis mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang komen melampau mengenai kematian seorang pelajar kolej vokasional di sini pada Jumaat lepas hingga mengganggu siasatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad berkata pihaknya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu siasatan polis.

“Kalau ada mana-mana individu yang ingin memberikan maklumat atau memberikan keterangan berhubung kes ini bagi membantu siasatan, sila hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah ASP Suddin Tjinkie di talian 017-4881755,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rohan Shah turut menasihatkan semua agar tidak mensensasikan kes bunuh itu dalam media sosial kerana bukan sahaja menjejaskan siasatan tetapi orang ramai perlu peka bahawa suspek melibatkan pelajar sekolah serta remaja bawah umur, selain sensitiviti keluarga mangsa perlu dijaga.

Menurutnya polis percaya kes itu dapat diselesaikan dan siasatan dijalankan secara telus serta terperinci di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. -Bernama