IPOH: Pelarasan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Perak akan diumum selepas sambutan Aidilfitri, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut beliau, kadar kenaikan tarif air sudah dimuktamadkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini dan memberi jaminan ia tidak akan membebankan pengguna di Perak.

“Kita akan umumkan selepas Aidilfitri kerana nak bagi orang beraya dengan seronoknya. Ia tidaklah beban sangat cuma tak nak bagi orang jangan runsing (dengan kenaikan tarif air),“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perak di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa pada 1 Feb yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pelarasan itu juga berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun Persekutuan melalui suruhanjaya berkenaan akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif.

Berdasarkan semakan melalui laman rasmi Lembaga Air Perak, tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak ketika ini ialah 30 sen bagi penggunaan sifar hingga 10 meter padu (m3), 70 sen (11-20 m3) dan RM1.03 (lebih 20 m3).

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata permohonan bagi menyelesaikan masalah banjir di empat lokasi melibatkan tiga daerah iaitu Larut, Matang dan Selama, Kinta dan Kerian akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Kalau diikutkan komitmen kerajaan Persekutuan akan memberi bantuan dan semua akan disegerakan kerana ia satu keperluan,“ katanya.

Semalam, Saarani dilaporkan berkata kerajaan negeri memerlukan bantuan dana daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM640 juta bagi menyelesaikan masalah banjir di empat lokasi melibatkan tiga daerah di negeri ini.

Saarani berkata peruntukan berkenaan meliputi pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kinta Fasa Tiga yang memerlukan peruntukan mencecah RM300 juta dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Sama Gagah di daerah Kerian bernilai RM250 juta.

Beliau berkata dua lagi lokasi di daerah Larut Matang dan Selama pula melibatkan Rancangan Tebatan Banjir Pekan Kuala Sepetang yang menelan belanja RM55 juta dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Trong bernilai RM35 juta. -Bernama