Keprihatinan masyarakat bantu kelangsungan haiwan di Zoo Melaka

MELAKA: Sikap prihatin dan tanggungjawab masyarakat terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar terserlah apabila semakin ramai menghulurkan bantuan makanan dan keperluan haiwan kepada Zoo Melaka (pix) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata usaha itu sedikit sebanyak membantu Zoo Melaka yang terkesan berikutan kekurangan pengunjung sejak tahun lalu, akibat pandemik Covid-19.

“Berbanding PKP tahun lepas, kesedaran masyarakat telah meningkat selepas mengetahui Zoo Melaka mengalami kekurangan sumber, jadi ramai pihak termasuk pencinta haiwan bukan sahaja dari Melaka malah dari Kuala Lumpur menghantar bekalan makanan kepada hawin-haiwan di sini pada setiap minggu dan hujung bulan.

“Pihak kami amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membantu kelangsungan lebih 600 haiwan yang terdapat di Zoo Melaka ketika kita semua berdepan situasi sukar ketika ini,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Shadan berkata, setiap bulan Zoo Melaka memerlukan kira-kira RM100,000 bagi menampung bekalan makanan seperti daging, ayam dan sayur-sayuran selain kos penyelenggaraan dan perubatan haiwan-haiwan di situ.

Beliau berkata bagaimanapun setakat hari ini, pengurusan Zoo Melaka masih mampu menampung keperluan haiwan-haiwan di pusat perlindungan itu walaupun operasinya ditutup sementara susulan PKP.

“Pihak zoo sentiasa memantau perkembangan dan kebajikan setiap haiwan, di samping itu kita juga berdoa dan berharap penularan pandemik ini segera berakhir dan keadaan pulih seperti biasa,“ katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan PKP di tujuh negeri yang sebelum ini dijadual tamat pada Selasa depan dilanjutkan hingga 4 Feb ini.

Ia membabitkan Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) selepas kesemua negeri berkenaan masih menunjukkan trend peningkatan kes positif harian Covid-19. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image