KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berhubung dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) untuk menambah baik iklim pelaburan dan kemudahan menjalankan perniagaan bagi menarik syarikat-syarikat semikonduktor global untuk berpindah ke Malaysia.

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai (gambar) berkata perlunya ada perubahan kawal selia untuk menambah baik iklim pelaburan yang disertai dengan kecekapan operasi.

Beliau juga berkata apa yang pentingnya ialah mengurangkan kerenah birokrasi, mempunyai infrastruktur yang tepat, kemudahan yang diperlukan, serta ekosistem perindustrian yang harus merangkumi kluster-kluster industri untuk menyokong syarikat-syarikat yang berpindah ke Malaysia.

“Ini akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk syarikat-syarikat ternama yang ingin memindahkan operasinya ke luar negara dan mengembangkan perniagaan mereka berikutan ketegangan geopolitik yang disebabkan oleh perang cip Amerika Syarikat (AS)-China,” kata Wong yang merupakan veteran dalam industri semikonduktor dengan pengalaman kerja selama 27 tahun dalam satu temu bual dengan Bernama hari ini.

Beliau menyatakan yang paling penting ialah Malaysia tidak boleh melupakan hakikat bahawa industri semikonduktor adalah “angsa emas” negara.

“Kita perlu menjaganya dengan berhati-hati, mengembangkannya dan menjadikan industri ini penting di peringkat global,” kata Wong, sambil menambah bahawa agensi-agensi yang terlibat dalam menarik dan meluluskan pelaburan termasuk kerajaan negeri perlu mengurangkan birokrasi dan menjadikannya lebih mudah dalam menjalankan perniagaan.

Malaysia perlu bersedia untuk pelaburan asing dengan membina infrastruktur yang diperlukan dan tidak berpuas hati di tengah-tengah persaingan serantau, katanya.

Ini termasuk pembekalan kuasa, air, lapangan terbang, serta memudahkan penghantaran yang akan membawa kepada peningkatan eksport untuk syarikat dan negara.

Wong menjelaskan bahawa adalah penting membangunkan ekosistem perindustrian, termasuk kluster, loji fabrikasi wafer (fab) serta kemudahan ujian pemasangan, dan pembinaan fab ini bagi meningkatkan kapasiti pembuatan cip supaya syarikat-syarikat multinasional mendapati pemindahan ke Malaysia adalah lebih menarik.

Dalam hal ini, persaingan adalah sengit kerana syarikat-syarikat itu sedang dipujuk oleh negara-negara seperti Vietnam, Thailand, Filipina dan India, yang kesemuanya “berusaha untuk turut serta dan bermain permainan yang sama”.

Langkah-langkah untuk memperbaiki iklim pelaburan adalah penting, lebih-lebih lagi kerana kerajaan MADANI menyasarkan Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam daya saing global bagi tempoh sedekad daripada kedudukan ke-27 pada masa ini.

Bagi memudahkan penambahbaikan yang diperlukan untuk pelaburan, Wong yang telah lama berkhidmat dengan Intel Pulau Pinang berkata MSIA telah mengumpulkan maklum balas daripada pihak industri elektrik & elektronik (E&E) dan menyalurkannya kepada kerajaan.

“Berita baiknya ialah kerajaan mengadakan libat urus dengan MSIA,” katanya sambil menambah maklum balas MSIA membolehkan permohonan permit kerja dalam talian untuk untuk ekspatriat dalam industri dipendekkan kepada hanya 10 hari pada masa ini berbanding 6-12 bulan pada 2022-2023 , dan hanya lima hari untuk mereka yang berada di laluan hijau atau fast track.

“Ada bidang-bidang lain yang mungkin lebih sukar untuk diselesaikan, tetapi sekurang-kurangnya dengan kemahuan politik dan ketersediaan untuk bekerjasama, kita boleh mencapai kemajuan.

“Jika tahap penambahbaikan kita lebih pantas daripada mereka (negara-negara lain), maka kita akan menjadi negara yang digemari untuk pelaburan,“ kata Wong.

Salah satu faktor utama yang mendorong syarikat-syarikat semikonduktor asing berpindah ke destinasi lain selain pangkalan mereka ialah perniagaan yang terhenti semasa COVID-19.

Mengingati kembali pandemik itu, beliau berkata banyak negara tidak dapat menghantar produk mereka seperti Taiwan, AS dan Jerman, dan bukan hanya Malaysia sahaja.

“Tetapi Malaysia dijadikan tumpuan sebagai negara yang menghentikan semua pengeluaran kereta di seluruh dunia. Ini kerana kita mempunyai beberapa syarikat semikonduktor yang mengeluarkan cip automotif atau litar bersepadu untuk kereta.

“Untuk mengurangkan risiko sedemikian, banyak syarikat -- terutamanya syarikat Amerika dan China -- merasakan mereka tidak boleh berada di satu-satu negara sahaja tetapi memutuskan untuk berpindah ke destinasi lain dan pada masa yang sama mengelakkan tarif AS.

“Itulah bagaimana semua ini (berebut mencari destinasi pelaburan yang lain) bermula dan Malaysia ternyata menjadi destinasi dan penerima faedah yang sempurna,” kata Wong.