KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar mengimbangi bantuan antara golongan B40 dan M40 dalam membantu mereka berdepan cabaran ekonomi ketika ini.

Senator Datuk Lim Pay Hen (gambar) berkata perkara itu perlu dilaksanakan memandangkan kumpulan M40 adalah paling terjejas dengan situasi ekonomi kini.

“Golongan M40 perlu bayar cukai tetapi dalam masa yang sama mereka dikecualikan daripada pelbagai bantuan,“ katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, beliau juga menyarankan kerajaan menghentikan segala bentuk kenaikan cukai buat masa ini, berikutan kedudukan nilai ringgit masih terjejas.

Menyentuh mengenai kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus berkuat kuasa 1 Mac lepas, Lim berkata perkara itu telah memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40.

Lim berkata masih terdapat beberapa perkhidmatan yang perlu diberi perhatian meskipun kerajaan telah mengumumkan pelbagai barangan dan perkhidmatan asas yang diberikan pengecualian daripada cukai itu antaranya makanan, minuman dan perkhidmatan telco.

“Saya dengar banyak keluhan rakyat berkaitan kenaikan harga insurans dan takaful dan perkhidmatan ini bukan lagi milik T20 sahaja malah majoriti M40 turut memiliki pelan perlindungan ini. Justeru, dengan kenaikan premium insurans dan takaful ini, ia sekali gus membebankan kerana ia termasuk dalam elemen asas kewangan rakyat.

“Ia bukan sekadar melibatkan insurans nyawa dan perubatan tetapi juga insurans kereta dan ini wajib kepada semua termasuk golongan B40 yang memiliki kereta dan apabila naik cukai ini sekali gus ia menjejaskan semua golongan,“ katanya.

Sementara itu, Senator Md Nasir Hashim berkata meskipun kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus itu tidak melibatkan makanan dan minuman, namun ia memberi kesan secara tidak langsung kepada urusan logistik peniaga.

“Bayangkan sekiranya peniaga nasi campur dikenakan kenaikan cukai ini sebanyak lapan peratus, bagi (aspek berkaitan) logistik, ia sudah pasti akan menjadikan kos pengangkutan dan lain-lain meningkat. Pasti mereka (peniaga) juga akan menaikkan harga (jualan),“ katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. -Bernama