PEKAN: Kerja-kerja pembaikan jambatan Bailey di Seksyen 102, Laluan Persekutuan 12 Jalan Kuantan-Segamat yang mengalami kerosakan akan bermula awal minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Datuk Hafizah Zakaria berkata laluan berkenaan akan ditutup sepenuhnya bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan dan notis pemaklumkan penutupan jalan akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

“Kita akan memaklumkan dahulu bila penutupan jalan akan dibuat dan laluan alternatif supaya pengguna boleh merancang perjalanan mereka,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi di sini hari ini.

JKR dalam kenyataan malam tadi memaklumkan jumlah kenderaan berat yang tinggi terutama melebihi had muatan 20 tan dikenal pasti sebagai punca kerosakan jambatan berkenaan dan hasil pemantauan di tapak mendapati plat keluli yang menyambungkan ramp atau tanjakan ke jalan tuju telah rosak.

Jambatan Bailey itu dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan pada 27 Jan lepas, bertujuan menghubungkan jalan terputus akibat banjir pada awal Januari.

Sementara itu, Hafizah menasihatkan pengguna laluan itu untuk mematuhi had muatan ditetapkan agar kerosakan berkenaan tidak berulang pada masa akan datang.

Sebelum ini, satu video memaparkan jambatan Bailey berkenaan mendap serta kesesakan lalu lintas di laluan tersebut sewaktu musim perayaan Aidilfitri tular di laman media sosial.