KUALA LUMPUR: Guru dan petugas lain yang serupa mempunyai kewajipan untuk mengawasi para pelajar ketika mereka berada di kawasan sekolah, demikian putus Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan berkata ini adalah bagi mengekalkan disiplin, keselamatan dan kesejahteraan para pelajar.

“Sudah semestinya sekolah, kediaman dan kawasan seumpamanya harus selamat serta berada dalam keadaan kondusif untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan.

“Jika tidak, penyedia dan pengguna institusi terbabit akan berdepan kesukaran dalam enrolmen sama ada para pelajar atau tenaga pengajar,“ katanya dalam penghakiman bertulis setebal 20 muka surat dalam satu kes buli bertarikh 29 Mac lepas.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi RM600,000 kepada seorang pelajar yang mengalami kerosakan telinga kekal akibat dibuli di sebuah sekolah menengah di Terengganu pada 2015.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang bersidang bersama-sama Lim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan.

Pada 2 April 2017, seorang pelajar lelaki yang dibuli ketika berusia 14, telah memfailkan saman itu menerusi bapanya terhadap lima pelajar Tingkatan Lima sekolah sama. Mangsa kini berumur 23 tahun.

Lim berkata terdapat keterangan yang mencukupi bagi membuktikan bahawa kesemua pelajar Tingkatan Lima terbabit yang dinamakan sebagai defendan telah menyerang dan memukul mangsa.

“Setiap defendan telah mengaku apabila disoal sama ada mereka telah menyerang mangsa. Mereka telah mengaku memukul, menampar bahagian pipi plaintif (mangsa) berkali-kali dan menyuruh plaintif duduk dalam keadaan mencangkung,” katanya.

Beliau berkata defendan keenam hingga kesembilan iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Pengetua, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia adalah kekal bertanggungjawab bagi perlakuan buli serta serangan fizikal yang dilakukan oleh kelima-lima pelajar ke atas mangsa dan kelihatan seolah-olah gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan perbuatan itu berlaku.

Menerusi saman itu, mangsa mendakwa beliau telah dipukul, dibuli dan diserang oleh kelima-lima pelajar senior sehingga menyebabkan gegendang telinga kanannya pecah.

Insiden itu yang berlaku pada 26 April 2015 telah mengakibatkan mangsa hilang upaya kekal dan kehilangan pendengaran selain mengalami trauma serta tekanan perasaan yang teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri.

Pada 29 Sept 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan semua kesemua defendan membayar ganti rugi sebanyak RM616,634.20 selepas membenarkan saman plaintif dan mendapati sekolah terbabit cuai dalam membenarkan perlakuan buli berlaku di asrama pengawas.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan memutuskan bahawa plaintif telah gagal membuktikan liabiliti kelima-lima pelajar senior yang didakwa memukul, membuli dan menyerangnya serta defendan lain tidak bertanggungjawab terhadap insiden itu. -Bernama