SUNGAI BESAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang wanita hamil di Jalan Sungai Limau dekat sini, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.

Majistret Siti Hajar Ali mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal untuk memindahkan kes dihadapi Muhammad Fakrul Aiman Sajali (gambar), 21, ke Mahkamah Tinggi Klang.

Pada prosiding hari ini Muhammad Fakrul Aiman, yang juga bekas penuntut kolej diwakili peguam Muhammad Nor Tamrin.

Pada 1 Jun tahun lepas Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau di sini antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau di sini pada 22 Mei tahun lepas. -Bernama