SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang pemandu lori yang didakwa membunuh teman wanita warga Thailandnya dengan menolak wanita itu dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Sivahnanthan Ragava supaya V. Nathan, 37, dihantar untuk pemerhatian psikiatri kerana dipercayai keadaan mentalnya yang tidak stabil.

Mahkamah juga menetapkan 7 Jun ini untuk menerima laporan psikiatri terkini pemandu lori itu.

Terdahulu Sivahnanthan yang membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah memberitahu mahkamah bahawa sukar untuk pihaknya mendapatkan arahan dari anak guamnya kerana dia tidak responsif.

“Anak guam saya telah terbabit dalam kemalangan kenderaan bermotor pada 2018 dan mengalami kecederaan ringan di kepala yang mengakibatkan pendarahan intrakranial (ICB) dan pneumocranium.

“Saya bimbang dia akan melakukan sesuatu yang buruk ke atas dirinya jika dihantar ke penjara, jadi saya memohon pihak mahkamah yang mulia ini supaya menghantarnya untuk pemeriksaan psikiatri,” kata peguam itu.

Sivahnanthan turut mengemukakan memo perubatan tertuduh yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang kepada mahkamah.

Selepas perkara itu tidak dibantah oleh timbalan pendakwa raya Nurul Farah Sofea Norazman, majistret kemudiannya memerintahkan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan.

Nathan didakwa membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH, Setia Alam, di sini pada 10.02 malam, 28 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.